Categories

Tuesday 26 June 2012

Madinah: Syoknya Puasa!

Nabi s.a.w. mengajar umatnya yang berbuka puasa untuk membaca doa :

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوْقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ

Maksudnya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah urat leher dan telah tetap pahalanya insyaALlah."

Kita digalakkan berbuka puasa dengan beberapa biji kurma basah (rutob) atau tamar biasa.


Rutob yang mula dipetik pada awal musim panas
Bahawasanya Anas bin Malik r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. biasa berbuka dengan rutob (sejenis kurma yang basah) sebelum baginda bersolat. Sekiranya tidak ada rutob, maka baginda berbuka dengan tamar (jenis kurma yang kering). Dan sekiranya tidak ada tamar, maka baginda minum beberapa teguk daripada air.
Hadis Riwayat Ahmad No. 12676

Saya sangat-sangat menggemari rutob ini. Kebiasaannya, rutob ini disimpan di dalam tempat beku di dalam peti sejuk. Jadi, apabila masuk ke dalam mulut, rasanya sedikit seperti jeli, sejuk-sejuk basah apabila dimakan. Sungguh lazat!


BERBUKA PUASA


Kami cuba meletakkan azam untuk berpuasa sunat sekurang-kurangnya 3 hari dalam setiap bulan. Jadi, berbuka puasa juga lagi seronok kalau dilakukan di Masjid Nabawi. Bagi saya, berbuka puasa di Masjid Nabawi merupakan nikmat yang sukar digambarkan.

Pada kali pertama saya berbuka puasa di Masjid Nabawi, saya tidak membawa apa-apa kecuali air. Abang berpesan bahawa selalunya terdapat sufrah*** yang dihampar bagi sesiapa yang berpuasa. Ia lebih kepada konsep menyediakan makanan untuk orang yang berpuasa.
***sufrah - plastik yang dihampar dan diletakkan makanan di atasnya


Sufrah yang dihampar ketika Ramadhan di Masjid Nabawi untuk orang-ramai berbuka puasa

Pada kebiasaannya, makanan yang dihidangkan adalah seperti kurma, air , yoghurt kosong di dalam bekas cawan (zabadi) dan kopi Arab. Terdapat perbezaan antara yoghurt di dalam botol dan yoghurt di dalam cawan di sini. Yoghurt di dalam botol dipanggil laban manakala di dalam cawan dipanggil zabadi.

Di sebelah kanan (laban) & di sebelah kiri (zabadi)
Abang menyuruh saya duduk sahaja bersama-sama dengan makcik-makcik Arab yang menghampar sufrah di dalam masjid, tetapi pada awalnya saya enggan. Masakan saya sanggup dengan tebal mukanya duduk makan makanan orang yang saya tidak kenal.

Jadinya, Abang mengajar saya untuk bercakap "أنا صائم" (Saya berpuasa). Ini kalau dibalas dengan bahasa Arab lagi, memang confirm muka tercengang nih!

Teringat suatu peristiwa berbuka puasa di Masjid Nabawi. Pada hari itu, saya hanya berbekalkan secawan zabadi, dengan harapan, dapat berbuka puasa bersama-sama jema'ah yang berpuasa di masjid.

SubhanALlah, jema'ah pada hari itu sangat-sangatlah ramai. Saya bergerak perlahan-lahan menuju ke bahagian hadapan kawasan solat wanita, sambil mencari ruang yang masih kosong untuk solat dan berbuka puasa.

Dalam hati, "Tak apalah, hari nih, aku berbuka puasa dengan zabadi ajelah."

Saya pon bergerak ke bahagian hampir dengan dinding pemisah antara kawasan lelaki dan wanita, alhamdulillah, ada ruang kosong. SubhanALlah, bukan sahaja ruang kosong, malah ada satu sufrah dihampar oleh makcik-makcik Arab Saudi yang berpuasa, dan kebetulan ada satu tempat kosong.

Saya pon membuka buah yang Abang pesan kepada saya, kononnya boleh cakap Arab la kan.

" عفوا‘ أنا صائم " (Maaf, saya berpuasa), kata saya kepada makcik-makcik Arab tersebut.

"تفضّل‘ يا بنت"  (Duduklah, wahai anakku)ucap makcik-makcik Arab di situ.

Alhamdulillah, saya pon melabuhkan punggung di ruang kosong untuk berbuka.


Makcik-makcik di situ kelihatannya sedikit berubah air muka apabila saya menyelak niqab (purdah) yang saya pakai. Mungkin tidak menyangkakan bahawa yang bercakap dengan mereka sebentar tadi adalah seorang Asian. Saya hanya memberikan senyuman kepada makcik-makcik tersebut.

Makcik di sebelah saya pon memulakan bicara, " أنتِ إندوسيّ ؟ " (Kamu orang Indonesia?)

Saya hanya tersenyum. Sudah sangat biasa saya ditanya samada saya orang Indonesia. Masakan tidak, populasi orang Indonesia sangat-sangatlah ramai di Arab Saudi.

Saya juga pernah disangkakan orang Thailand, orang Philippines, orang China dan yang paling saya pelik adalah Kyrgyzstan. Ada rupa macam orang sana ke saya nih? Layan sajalah. :)

Saya menjawab, "  لا, أنا ماليزيّة " (Tidak, saya orang Malaysia).

Makcik di sebelah pon tersenyum dan meneruskan pertanyaannya, " أنتِ مقيم هنا؟ " (Kamu tinggal di sini?)

Saya pon mengiyakan dan mengatakan bahawa saya tinggal di Madinah, dan suami saya pelajar di جامعة إسلاميّة (Universiti Islam Madinah).

Universiti Islam Madinah : Setakat ini hanya dibuka kepada pelajar lelaki sahaja


Saya pon meneruskan, " ولكن، أتكلم اللغة العربية قليل جدّا " (Tetapi, saya hanya boleh berbahasa Arab dengan sedikit). Ayat tersebut memang selalu diulang kepada sesiapa sahaja, takut-takut tercengang bila ditanya selepas itu.

Makcik-makcik tersebut dengan beramai-ramai tidak merasakan ianya satu masalah, malah menggalakkan saya belajar bahasa Arab, dengan harapan akan fasih suatu hari nanti.

Makcik-makcik tersebut nampaknya masih tidak berputus asa. "Alahai, tak menjadi la pulak buah aku taknak kasi makcik nih tanya lagi."

Makcik di sebelah pon meneruskan lagi pertanyaan. "Fii bazuurah?" (Hah, sudah! Apa benda la pulak makcik nih tanya?) Saya hanya menggeleng dengan muka blur lagi tidak faham. (Setelah ditanya kepada suami, rupanya bazuurah itu zuriat).

Makcik itu menambah lagi " في نونو؟" (Ada si kecik?) ***Nunu dalam bahasa Arab adalah merujuk kepada anak-anak kecil.

Saya hanya menggeleng dengan riak wajah yang menunjukkan sedikit perasaan sedih dan berkata Tidak.

Memang sudah menjadi kebiasaan bagi orang-orang yang sudah berumur, untuk bertanyakan tentang zuriat.
Tetapi, apa yang menyebabkan saya tertarik di sini adalah perbezaan yang saya dapat perhatikan di antara makcik-makcik Arab dan makcik-makcik Malaysia.


Jika ditanya oleh makcik Malaysia, dan apabila jawapannya adalah Tidak, kebiasaannya, akan disahut dengan pertanyaan, "Kenapa?" , "Tak nak anak ke?", "Dah lama kahwin, takkan tak ada anak kot?" dan paling menyedihkan, "Takkan nak jaga badan kot?". (Macam nak tanya je, "Makcik, Do I look slim to you? Dah selooom dah nih makcik, jaga badan hapenye?")

Apabila diberi jawapan  Tidak  dengan riak wajah yang mempamerkan sedikit kesedihan, salah seorang dari makcik-makcik tersebut terus menjawab dengan pantasnya

"Tak apa anakku, ummi doakan moga kamu cepat dapat zuriat, dengan izin ALlah".
Dan perkataan makcik tua ini menyebabkan semua makcik-makcik Arab di situ turut mendoakan perkara yang sama untuk saya. Dan saya tidak putus-putus mengaminkan doa mereka. Ini menyebabkan saya kembali tersenyum. Saya terharu! Moga ALlah makbulkan doa-doa makcik  tersebut dan moga ALlah murahkan rezeki makcik-makcik dan gandakan pahala kebaikan makcik-makcik tersebut.

MasyaALlah, saya sangat kagum dengan budaya masyarakat Arab yang tidak lokek mendoakan saudaranya yang lain. Ayat-ayat mereka tidak lekang dari mendoakan sesama muslim.

Azan Maghrib pon berkumandang, dan kami pon berbuka puasa bersama-sama. Ya, rutob kegemaran saya!

Selesai solat Maghrib, saya pon meminta izin dari makcik-makcik tersebut untuk pulang kerana mereka tidak henti-henti mengajak saya untuk makan bersama-sama. Apabila dikatakan suami saya sedang menunggu, mereka membungkuskan saya roti, zabadi dan tamar untuk dibawa pulang.

SubhanALlah, cukup kurasakan murahnya rezeki di bumiMu yang penuh berkat ini.

Alangkah nikmatnya ukhuwah Islam itu!

Saya dan Abang berbuka puasa di rumah dengan masakan istimewa dari Chef L. Yelaaaa, orang Melayu tipikal. Nasi bersama Tomyam Kung dan telur dadar goreng. 



Berapa hari lagi nak masuk bulan Ramadhan ye? Mari sama-sama menyiapkan diri bagi menyambut ketibaan Ramadhan. Moga ALlah memberikan kesempatan kepada kami untuk menyambut Ramadhan di bumi berkatNya pada tahun ini.
_____________________________________________________________________
ninutdearies
Madinah al-Munawwarah

No comments:

Post a Comment